Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS), dalam usaha untuk mengekalkan dan mempromosikan warisan adat tradisi Orang Asal Sabah, telah memulakan langkah strategik untuk pencalonan mereka ke dalam Daftar Amalan Perlindungan Baik UNESCO (UNESCO Register of Good Safeguarding Practices). Untuk mencapai hasrat ini mereka telah menjemput Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) untuk bantuan teknikal dan sekaligus rakan kerjasama. Dengan menggabungkan usaha antara institusi pendidikan tempatan seperti BorIIS dan melalui pelbagai aktiviti seperti Bengkel Penyediaan Borang UNESCO tersebut dan sekaligus perayaan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang jatuh pada 21 Februari 2024, SAANS menunjukkan komitmen yang kuat terhadap pemeliharaan dan promosi adat tradisi masyarakat Orang Asal di Sabah khususnya melalui medium sekolah adat (native customary schools).
Pencalonan ini bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha SAANS dalam memelihara warisan budaya, tetapi juga bertindak sebagai platform untuk menggalakkan kesedaran dan penghargaan terhadap keunikan budaya Orang Asal. Kolaborasi dengan BorIIS dan penganjuran bengkel penyediaan borang serta sekaligus merayakan perayaan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa memberi peluang untuk pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara pelbagai generasi dan komuniti. Ini bukan sahaja membantu dalam pemeliharaan bahasa dan budaya, tetapi juga mendorong dialog dan pemahaman antarabudaya. Dalam konteks globalisasi dan perubahan sosial, pemeliharaan ini menjadi semakin penting sebagai suatu usaha untuk mengekalkan kepelbagaian budaya dan memastikan bahawa warisan budaya tidak ketara Orang Asal tidak hilang.
Selanjutnya, usaha ini juga sejajar dengan matlamat Pembangunan Lestari PBB, khususnya dalam menggalakkan pendidikan inklusif dan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Dengan mempromosikan pendidikan yang berbasis pada bahasa ibunda dan kebudayaan asli, SAANS membantu dalam pembangunan modal insan yang seimbang, memperkukuh kesatuan sosial dan meningkatkan kefahaman serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya.