Speaker
Description
Kajian kes ini bertujuan untuk meneroka proses intervensi kaunseling individu terhadap seorang klien yang sedang menjalani pemulihan penyalahgunaan dadah di Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) Papar, Sabah. Kajian ini memfokuskan kepada isu tekanan emosi dan penghargaan kendiri (self-esteem) yang rendah akibat ketidakselarasan antara ideal self dan real self sebagaimana yang dijelaskan dalam Teori Pemusatan Klien (Person-Clien Centered, PCC). Pendekatan rawatan menggunakan kaedah integratif, yang menggabungkan teori PCC dan Modul Adaptasi Motivational Interviewing (AMI) oleh Puteri Hayati Megat Ahmad (2010), dengan penekanan terhadap kemahiran asas OARS (Open Question, Affirmation, Reflection, Summarizing) dan elemen kerohanian. Dua instrumen psikometrik telah digunakan, iaitu Drug Screening Inventory (DSI) untuk menilai tahap penggunaan dadah dan COPE Inventory (Carver, Scheier & Weintraub, 1989) bagi menilai strategi daya tindak (coping strategies) klien dalam menghadapi tekanan. Hasil intervensi menunjukkan peningkatan signifikan dalam aspek kesedaran kendiri, motivasi untuk berubah, serta penggunaan strategi daya tindak positif seperti positive reinterpretation, religious coping, dan planning. Klien turut menunjukkan perubahan percakapan positif (change talk) dan peningkatan skala kesediaan untuk berubah daripada 7 kepada 10 selepas lapan sesi kaunseling. Kajian ini menyimpulkan bahawa gabungan pendekatan PCC, AMI, dan elemen kerohanian berkesan dalam memperkukuh penghargaan kendiri dan motivasi perubahan klien yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Kata kunci: Adaptasi Motivational Interviewing, Self-esteem, Penyalahgunaan Dadah, Teori Pemusatan Klien