Speaker
Description
Wanita profesional sering menghadapi cabaran besar dalam mengimbangi kerjaya
dan tanggungjawab keluarga, yang boleh mencetuskan konflik antara kedua-dua
peranan tersebut. Konflik kerja-keluarga yang tidak diuruskan dengan baik memberi
kesan negatif kepada kesejahteraan mental, termasuk tekanan, kebimbangan, dan
kemurungan. Namun, kajian mengenai keberkesanan perkhidmatan kaunseling
dalam mengurangkan kesan negatif konflik ini terhadap kesihatan mental masih
terhad, khususnya dalam konteks Malaysia. Kajian ini bertujuan untuk menyiasat
sejauh mana perkhidmatan kaunseling dapat membantu mengurangkan kesan
negatif konflik kerja-keluarga terhadap kesihatan mental wanita profesional. Kajian
ini melibatkan 362 peserta wanita profesional, dan data dianalisis menggunakan
Structural Equation Modelling (SEM) untuk menguji tiga hipotesis null yang
berkaitan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ketiga-tiga hipotesis null ditolak,
membuktikan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara konflik kerja-
keluarga dan kesihatan mental, serta peranan kaunseling sebagai intervensi yang
berkesan dalam mengurangkan kesan negatif konflik tersebut. Hasil kajian
menunjukkan bahawa konflik kerja-keluarga memberi kesan negatif yang signifikan
kepada kesihatan mental (nilai P = 0.000), perkhidmatan kaunseling memberi kesan
positif kepada kesihatan mental (nilai P = 0.017), dan perkhidmatan kaunseling
memoderasikan hubungan antara konflik kerja-keluarga dan kesihatan mental (nilai
P = 0.000). Kajian ini menyerlahkan kepentingan perkhidmatan kaunseling sebagai
medium dalam menangani tekanan akibat konflik kerja-keluarga bagi wanita
profesional. Organisasi disarankan untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling
yang lebih berstruktur serta memperkenalkan dasar kerja yang fleksibel bagi
membantu pekerja wanita mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan
peribadi yang lebih baik, sekaligus meningkatkan kesejahteraan keseluruhan
mereka.