November 13, 2025 FPKS
Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, UMS
Asia/Kuala_Lumpur timezone

APAKAH YANG DILAKUKAN OLEH PEKERJA SOSIAL DADAH?

Not scheduled
20m
Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, UMS

Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, UMS

Faculty of Psychology and Social Work, Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.
Full Paper Submission Youth and Addiction: early intervention strategies / Belia dan Ketagihan: strategi intervensi awal

Speaker

HABIBIE IBRAHIM (AP Dr)

Description

Abstrak: Kertas kerja ini merupakan satu kertas konsep. Kertas kerja merupakan perkongsian pengalaman penulis sebagai Ahli Lembaga Hakim Pelawat di Sekolah Henry Gurney Keningau dan Penjara Kota Kinabalu dan pengalaman mengajar kursus PS31803 Kerja Sosial di Institusi Pemulihan dan Pengawalan. Kursus PS31803 adalah kursus yang ditawarkan kepada pelajar tahun akhir, Program Kerja Sosial di UMS iaitu salah satu kursus pengkhususan kerja sosial. Penghuni di Sekolah Henry Gurney Keningau adalah dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. Antara kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak ini adalah mencuri, merompak, lari dari rumah, rogol dan termasuklah penglibatan dalam kes dadah. Kanak-kanak yang terlibat dalam masalah sosial yang disebutkan diletakkan di bawah pengawasan seorang pegawai akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dilantik. Kanak-kanak berstatus warganegara sekiranya didapati bersalah dan tidak selamat untuk terus tinggal bersama keluarga akan diputuskan oleh Mahkamah Kanak-Kanak untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Keningau. Manakala, kanak-kanak bukan warganegara pula akan dihantar ke Penjara Muda di Penjara Kota Kinabalu. Kanak-kanak ini akan menjalani proses-proses pemulihan dadah di samping menjalani hukuman. Pengambilan dadah sebagai tingkah laku devian, social attitudes tentang dadah, makna penagihan, proses-proses penagihan dadah dan apakah yang dilakukan oleh pekerja sosial dadah atau pekerja sosial di institusi pemulihan dan pengawalan akan dijelaskan di dalam kertas kerja ini.

Kata kunci: Penyelewengan Sosial, Penagihan Dadah, Kerja Sosial Di Institusi Pemulihan

PENGENALAN
Kertas kerja ini merupakan satu kertas konsep. Perkongsian pengalaman penulis sebagai Ahli Lembaga Hakim Pelawat di Sekolah Henry Gurney, Keningau dan Penjara Kota Kinabalu sejak tahun 2019 sehinggalah tahun 2023. Di samping itu, pengalaman mengajar penulis bagi kursus PS31803 Kerja Sosial di Institusi Pemulihan dan Pengawalan. Kursus PS31803 adalah kursus yang ditawarkan kepada pelajar tahun akhir, Program Kerja Sosial di UMS iaitu salah satu kursus pengkhususan kerja sosial. Ilmu teori berkenaan Kerja Sosial di Institusi Pemulihan dan Pengawalan amat berguna di dalam menjalankan tugas-tugas sebagai Ahli Lembaga Hakim Pelawat di Sekolah Henry Gurney dan penjara.

Di Malaysia, program pemulihan remaja dikawal oleh Akta Kanak-Kanak 2001, yang mengklasifikasikan individu berumur 10 hingga 18 tahun sebagai remaja. Pesalah remaja ditempatkan di institusi seperti Sekolah Henry Gurney, di mana mereka menjalani proses pemulihan yang teratur di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Program-program ini merangkumi pengajaran akademik, latihan vokasional, pendidikan agama, kaunseling psikologi, dan aktiviti ko-kurikulum, semuanya direka untuk menyokong pembangunan menyeluruh remaja dan mengurangkan kemungkinan mereka mengulangi kesalahan (Nur Sharina, Syaripah Ruzaini& Abd. Rasid, 2024). Antara kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak atau remaja adalah mencuri, merompak, lari dari rumah, rogol dan termasuklah penglibatan dalam kes dadah. Kanak-kanak yang terlibat dalam masalah sosial yang disebutkan diletakkan di bawah pengawasan seorang pegawai akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dilantik.

Kanak-kanak berstatus warganegara sekiranya didapati bersalah dan tidak selamat untuk terus tinggal bersama keluarga akan diputuskan oleh Mahkamah Kanak-Kanak untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney. Manakala, kanak-kanak bukan warganegara pula akan dihantar ke Penjara Muda di Penjara Kota Kinabalu. Kanak-kanak ini akan menjalani proses-proses pemulihan dadah di samping menjalani hukuman.

Penulisan kertas ini akan meliputi topik pengambilan dadah sebagai tingkah laku devian, social attitudes tentang dadah, makna penagihan, proses-proses penagihan dadah dan apakah yang dilakukan oleh pekerja sosial dadah atau pekerja sosial di institusi pemulihan dan pengawalan akan dijelaskan di dalam kertas kerja ini.
PENGAMBILAN DADAH SEBAGAI PENYELEWENGAN
Penyalahgunaan dadah telah menjadi isu sosial yang meluas dalam dunia kontemporari. Ia didefinisikan sebagai corak penggunaan bahan yang berbahaya seperti alkohol, merokok, menghisap ganja dan sebagainya untuk tujuan mengubah mood. Golongan muda lebih terdedah kepada fenomena ini disebabkan tekanan dan pengaruh rakan sebaya yang negatif. Tekanan rakan sebaya yang negatif biasanya menimbulkan rasa tidak berharga dan harga diri yang rendah. Perasaan sedemikian membuat individu terdedah untuk terlibat dalam penyalahgunaan dadah bagi mencari kesesuaian dan penerimaan daripada rakan sebaya mereka (Aliya, 2021)

Istilah yang selalu muncul adalah dadah, pengguna dadah dan dalam pengaruh dadah. Dadah ini merangkumi dari pil aspirin dan antasid hingga alkohol; dadah halusinogenik seperti ganja; perangsang seperti kafein, nikotin dan kokain; ubat/dadah yang mengubah pemikiran; pengubah mood; dan narkotik psikoaktif seperti heroin (mempengaruhi sistem saraf pusat, mempengaruhi mood, tingkah laku dan persepsi melalui tindakan pada otak).
Penyalahgunaan dadah dan bahan merujuk kepada penggunaan bahan kimia atau bahan tertentu secara tidak terkawal, berlebihan, atau haram yang boleh mengubah keadaan mental, emosi, atau fizikal seseorang (Nur Fatinni, Amin Al Haadi, Khatijah, Ahmad Najaa & Suzaily, 2024).

Orang menggunakan dadah untuk pelbagai sebab: doktor untuk merawat penyakit, melegakan kesakitan dan mengawal emosi; dadah menenangkan pesakit yang teruja, menenangkan orang dalam situasi sosial dan melegakan ketegangan serta kebosanan; ia memberikan keseronokan, memuaskan rasa ingin tahu; ia membantu mewujudkan ikatan perhubungan dan meningkatkan prestasi seksual. Dari segi mentakrifkan dadah berdasarkan kesan fizikal atau psikoaktif yang dikaitkan dengannya, terdapat empat kategori farmakologi utama dadah seperti yang telah dinyatakan oleh Coomber, McElrath, Mesham & Moore (2013) iaitu stimulants, deprresants, halusinogens dan deliriants.

Apa pun alasan orang yang menggunakan dadah, masyarakat mesti berusaha untuk memahami sifat penggunaan ini dan situasi di mana orang menggunakannya dan menyalahgunakannya (serta bagaimana orang membezakan satu dari yang lain), serta makna tingkah laku sosial sebegini bagi mereka yang menggunakan dadah dan mereka yang tidak.

Social Attitudes Terhadap Dadah
Ketagihan dadah disifatkan sebagai satu masalah peribadi. Pendapat ini membantu penagih daripada dikecam. Kemudian, penagih mengalami stigma sebagai seorang yang tidak baik dan ketagihan dikaitkan dengan tingkah laku jenayah. Dadah Berbahaya – Akta Pelucuthakan Harta 1988; Akta 340 & Peraturan 1989; Akta Langkah Pencegahan Khas 1985 dan Akta 316 & Peraturan 1987.

Nakhimova (2017) menyatakan terapat empat jenis utama sikap terhadap pengalaman penyalahgunaan dadah ditentukan yang ditentukan sebagai: 1) penafian sepenuhnya kemungkinan penyalahgunaan dadah; 2) penolakan penyalahgunaan dadah, tetapi bersikap acuh tak acuh atau setia terhadap penyalahgunaan dadah oleh orang lain; 3) kesediaan untuk penggunaan dadah secara berkala; 4) stereotaip tetap penggunaan bahan narkotik secara tetap.

Maksud Ketagihan (opiat)
Istilah ketagihan merujuk kepada pergantungan fizikal, "keadaan adaptif tubuh yang ditunjukkan oleh gangguan fizikal apabila penggunaan dadah dihentikan" (Milby, 1981:3).

Proses Ketagihan (opiates)
1.Percubaan atau initiation – biasanya dilakukan bersama rakan sebaya, seseorang mencuba heroin untuk memuaskan rasa ingin tahu; kebanyakan pengguna menghentikan penggunaan opiat selepas tahap ini, tetapi ada juga yang terus menggunakan.
2.Escalation atau peningkatan – corak penggunaan yang kerap berkembang sepanjang beberapa bulan, membawa kepada penggunaan harian, ketagihan fizikal, dan peningkatan toleransi; ada juga "chippers" yang terus menggunakan heroin secara jarang tanpa membangunkan kebergantungan fizikal pada tahap ini.
3.Mengekalkan atau "taking care of business" – penggunaan heroin yang relatif stabil masih membolehkan penagih "terangsang secara psikologi", penagih mengekalkan keyakinan mengenai menunaikan tanggungjawab kerja dan tanggungjawab lain, walaupun ketagihan tersebut tidak dapat dinafikan.
4.Disfungsi atau "mengalami perubahan" – penagih mungkin masuk ke pusat pemulihan atau penjara bagi menjalani program rawatan untuk kali pertama, dan kesan negatif lain daripada tabiat ini mungkin menjadi jelas juga; penagih mungkin cuba berhenti daripada tabiat ini, sama ada bersama orang lain atau sendirian, tetapi gagal.
5.Pemulihan atau “keluar daripada kehidupan itu” – penagih yang telah pulih membangunkan sikap yang berjaya untuk berhenti dadah, sama ada di dalam atau di luar program rawatan formal; perkembangan ini melibatkan perubahan besar dalam kehidupan.
6.Bekas penagih – Pengguna memperoleh identiti sosial baru sebagai bekas penagih. Penagih yang berjaya dirawat mengadopsi peranan ini melalui kerja mereka dalam program rawatan; bekas penagih yang tidak dirawat jarang sekali mengadopsi peranan sedemikian.

APA YANG DILAKUKAN PEKERJA SOSIAL PENYALAHGUNAAN BAHAN?
Pekerja sosial penyalahgunaan bahan komited kepada individu yang mencari bantuan untuk masalah dadah dan alkohol. Mereka membantu klien menangani kebergantungan yang semakin berkembang sebelum ia menjadi ketagihan. Pekerja sosial penyalahgunaan bahan sering bertemu dengan klien mereka – kadangkala setiap hari jika klien berada dalam institusi/program rawatan – bekerjasama dengan mereka untuk memberikan nasihat dan sokongan yang konsisten, serta menjadi pautan penting kepada kemungkinan hidup bebas daripada alkohol dan dadah. Habibie, Norruzeyati dan Mohammad Rahim (2024) mengulas antara yang dilaksanakan oleh pekerja sosial penyalahgunaan bahan adalah seperti berikut:

Pendekatan Berpasukan
Ramai pekerja penyalahgunaan bahan adalah ahli pasukan dari pelbagai disiplin yang bekerja di hospital atau pusat pemulihan. Pasukan ini terdiri daripada beberapa pekerja penjagaan kesihatan lain seperti ahli psikologi, psikiatri, jururawat, dan pekerja sosial. Asas pengetahuan kolaboratif ini memastikan semua aspek penjagaan kesihatan klien ditangani semasa mereka menjalani rawatan.

Pekerja sosial penyalahgunaan bahan berada di barisan hadapan semasa penjagaan dan interaksi klien, mengumpul dan menyediakan ahli pasukan dengan maklumat terkini klien. Latihan khusus dalam kompleksiti penyalahgunaan bahan memberi pekerja sosial kemahiran asas yang mereka perlukan untuk menangani masalah perubatan dan psikologi klien mereka.

Penilaian (Assessment)
Penilaian awal ke atas klien memberi pekerja sosial pemahaman yang lebih baik tentang latar belakang klien dan beberapa dinamika yang telah menyebabkan penyalahgunaan bahan. Isu sosial adalah penting untuk memahami sepenuhnya masalah dan cabaran yang dihadapi klien ketika mereka memerlukan ketenangan. Beberapa isu berkaitan adalah seperti berikut: pengangguran, tahap pendidikan, latar belakang sosio-ekonomi, susunan hidup semasa, serta sejarah perubatan keluarga, sejarah jenayah, dan racial concerns.

Biasanya, klien mempunyai lebih daripada satu masalah yang menyebabkan mereka menggunakan dadah atau alkohol. Konflik keluarga atau pekerjaan adalah yang paling kerap dihadapi, tetapi klien juga selalunya mempunyai pelbagai diagnosis. Ini bermakna mereka mungkin mempunyai gangguan kesihatan mental, seperti kemurungan, yang menyumbang kepada dorongan mereka untuk menggunakan dadah atau alkohol. Pekerja sosial penyalahgunaan bahan perlu memahami hubungan kompleks antara kemurungan dan aktiviti penyalahgunaan, dan mereka mesti dapat menasihati klien mereka tentang cara untuk mengatasi kesan tersebut.

Pelan Penjagaan
Maklumat yang dikumpulkan oleh pekerja sosial penyalahgunaan bahan dan anggota pasukan lain membantu menentukan pelan penjagaan untuk klien. Pelan ini menggariskan butiran khusus rawatan klien dan termasuk matlamat, cadangan pengaturan tempat tinggal, serta sebarang sumber tambahan yang dirasakan perlu oleh ahli pasukan untuk proses rawatan dan pemulihan.

Kaunseling dan Terapi
Kaunseling mungkin merupakan kemahiran yang paling penting dan paling kerap digunakan yang perlu dikuasai oleh pekerja sosial penyalahgunaan bahan. Dalam sesi kaunseling terapeutik, pekerja sosial membimbing klien ketika mereka meneliti situasi yang menekan, sambil menemui sebahagian daripada pencetus yang menyebabkan mereka minum atau mengambil dadah. Kebiasaannya, penyalahgunaan bahan adalah mekanisme penanggulangan bagi klien yang merasa terbeban oleh isu dan keadaan dalam kehidupan.

Terapi yang paling kerap digunakan termasuk:- Terapi tingkah laku kognitif - membantu pesakit mengenali, mengelak, dan menangani situasi di mana kemungkinan besar mereka menyalahgunakan dadah. Terapi keluarga multidimensi - satu proses yang dibangunkan untuk remaja dengan masalah penyalahgunaan dadah yang menangani pengaruh terhadap pola penyalahgunaan dadah mereka, dan memberi tumpuan kepada peningkatan fungsi keluarga. Temu bual motivasi - membantu individu mengubah tingkah laku mereka dan turut serta di dalam proses rawatan. Insentif motivasi - menggunakan peneguhan positif untuk menggalakkan pengelakan daripada dadah.

Pekerja sosial yang mengkhusus dan bekerja dengan populasi penyalahgunaan bahan umumnya biasa dengan proses-proses yang disebutkan ini bersama ahli terapis yang lain, dan mesti mahir dalam menjalankan sesi terapeutik individu dan kumpulan. Mereka mesti mempunyai pemahaman yang baik tentang pembangunan manusia, sistem perilaku kumpulan dan individu, serta semua elemen penyebab dan keadaan yang mempengaruhi klien semasa mereka menjalani proses rawatan dan pemulihan.

Intervensi
Penglibatan seorang pekerja sosial dengan klien penyalahgunaan bahan selalunya sengit, memerlukan mereka untuk menjadi sangat sedar sekiranya tingkah laku klien menunjukkan bahawa intervensi diperlukan. Menentukan intervensi yang sesuai dan rawatan susulan adalah penting untuk kejayaan proses pemulihan. Ini memerlukan pekerja sosial penyalahgunaan bahan untuk sentiasa peka ketika berurusan dengan klien dan bijak dalam mencari program yang membantu klien mereka.

KESIMPULAN
Penglibatan pekerja sosial dalam rawatan penyalahgunaan bahan boleh mengurangkan masalah individu kerana mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk membantu klien pulih. Peranan pekerja sosial kekal sebagai komponen dalam rawatan gangguan penggunaan bahan, yang merangkumi persepsi, kekuatan, dan had mereka. Walaupun gangguan penggunaan bahan merupakan isu rawatan yang berterusan, ketagihan masih kurang dikenali sebagai bidang amalan utama untuk pekerja sosial klinikal. Oleh kerana pekerja sosial memainkan peranan penting dalam pengecaman dan rawatan orang dengan gangguan penggunaan bahan, peranan dan tanggungjawab mereka dalam bidang pengurusan ketagihan mempunyai kesan terhadap sifat dan kualiti intervensi yang diberikan kepada mereka yang mengalami ketagihan bahan.

RUJUKAN
Akta Pelucuthakan Harta 1988
Akta 340 & Peraturan 1989
Akta Langkah Pencegahan Khas 1985
Akta 316 & Peraturan 1987
Aliya, J. (2021). Substance abuse as a social issue: A social psychology perspective, https://www.researchgate.net/publication/353479934
Children’s Act 2001, Malaysia.
Coomber, R., McElrath, K., Mesham, f., & Moore, k. (2013). Key concepts in drugs and society, London: SAGE.
Habibie Ibrahim, Norruzeyati Che Mohd Nasir & Mohammad Rahim Kamaluddin. (2024). Penyalahgunaan bahan dan intervensi kerja sosial. Kota Kinabalu: Penerbit UMS.
Milby, J.B (1981). Addictive behaviour and its treatment. New York : Springer Pub. Co.
Nakhimova, Y.N. (2017). Social attitudes to drugs abuse among youth and drug abuse prevention, The Education and Science Journal, 19(6), 138-160 (PDF) SOCIAL ATTITUDES TO DRUGS ABUSE AMONG YOUTH AND DRUG ABUSE PREVENTION
Nur Fatinni binti Mohamad Kamala, Amin Al Haadi bin Shafieb, Khatijah binti Othmanc, Ahmad Najaa bin Mokhtard, Suzaily bin Wahabe. (2024). Drug and substance abuse among youth: Factors, effects and prevention methods, International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 14 (7), 981-998. drug-and- substance- abuse-among-youth-factors-effects-and-prevention- methods.pdf
Nur Sharina Bt Cik Ibrahim, Syaripah Ruzaini Bt Syed Aris dan Abd. Rasid Bin Abd Rahman. (2024). A systematic literature review on the Putra Model: Analysing juvenile rehabilitation at Henry Gurney School, Journal of Media and Information Warfare, 17(2), 93-99 Systematic.pdf

Primary authors

HABIBIE IBRAHIM (AP Dr) Dr NURUL HUDANI MD NAWI (AP Dr) Ms Siti Noor Fazariah Suis

Presentation materials