Speaker
Description
ABSTRAK:
Fenomena childfree, atau keputusan sukarela untuk hidup tanpa anak, sedang mencabar norma kekeluargaan tradisional yang berakar dalam masyarakat Malaysia. Kajian ini bertujuan meneroka bagaimana individu dan pasangan yang memilih gaya hidup childfree mentafsir identiti, menangani konflik emosi, serta mendepani tekanan sosial dalam ekosistem budaya yang masih menekankan kesinambungan zuriat. Menggunakan pendekatan kualitatif, seramai 15 peserta ditemu bual secara mendalam untuk merungkai naratif peribadi mereka. Peserta dipilih melalui kaedah pensampelan bertujuan, melibatkan pelbagai latar belakang umur, jantina dan status perkahwinan. Analisis tematik mengenal pasti tiga tema teras: (i) “Ketenangan Bebas” (Freedom Glow), iaitu kelegaan emosi, kejelasan identiti dan kepuasan diri selepas menolak peranan reproduktif tradisional; (ii) “Tekanan dan Stigma Sosial”, merangkumi harapan keluarga, pertanyaan stereotaip, serta penghakiman moral yang meletakkan pasangan tanpa anak sebagai ‘penyimpang’ sosial; dan (iii) “Makna Alternatif Keluarga”, yang memperlihatkan bagaimana peserta memperluas tafsiran kasih sayang, komitmen pasangan dan sokongan sosial di luar struktur biologi keibubapaan. Dapatan ini menunjukkan bahawa keputusan childfree bukan cerminan penolakan terhadap institusi keluarga, sebaliknya suatu bentuk ekspresi autonomi dan keinginan mencapai kesejahteraan psikologi. Kajian ini menyerlahkan keperluan wacana dasar dan sosial yang lebih inklusif, bagi mengenal pasti dan meraikan kepelbagaian bentuk keluarga dalam Malaysia moden.
Kata kunci: Childfree by choice, Freedom Glow, tekanan sosial, identiti, kesejahteraan emosi.