Speaker
Description
ABSTRAK
Aksesori kepala adalah lambang yang penting untuk menunjukkan darjat seseorang kerana kepala adalah anggota badan yang tertinggi yang mewakili kebijaksanaan manusia. Aksesori kepala iaitu sigal telah menjadi objek budaya berdasarkan kosmos masyarakat Rungus. Sigal digunakan dalam pelbagai tujuan seperti majlis perkahwinan, keramaian, hukum adat, adat kematian dan sogit. Perkara ini menunjukkan bahawa pemakaian sigal berkait rapat dengan kepercayaan yang diamalkan sejak leluhur lagi. Tujuan pemakaian adalah tertakluk pada status pemakainya, misalnya digunakan oleh golongan pemimpin, ketua agama, ketua kampung, bangsawan dan pahlawan. Oleh itu, tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji status sigal dalam sosial dan peranan sigal dalam kepercayaan masyarakat Rungus. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif untuk mendapatkan bahan-bahan kajian yang berkaitan dengan sigal dengan menggunakan kaedah temu bual, pemerhatian dan juga turun ke kajian lapangan. Hasil kajian mendapati bahawa bentuk, warna dan motif memberi kesan ke atas status si pemakai sigal dan tujuan pemakaian sigal. Transisi kehidupan telah memberi impak ke atas pemakaian sigal dalam masyarakat Rungus, misalnya pada masa dahulu sigal sebagai pakaian harian dan digunakan dalam upacara dan majlis adat. Walau bagaimanapun, kini sigal hanya dilihat semasa majlis-majlis rasmi yang dipakai oleh golongan tua. Justeru, kajian ini menjelaskan signifikasi pemakaian sigal dalam struktur sosial dan peranan sigal dalam kepercayaan masyarakat etnik Rungus pada masa dahulu dan sekarang.
Kata Kunci: sigal, etnik Rungus, status sigal, kepercayaan, sogit.