Speaker
Description
Kertas ini membincangkan tentang pembuatan kostum untuk produksi Teater Awang Sulung Merah Muda 2023. Teater moden bernuansa tradisi ini diterbitkan oleh Persatuan Gerakan Anak Seni (GAS) dan telah dipentaskan pada 13 dan 14 Oktober 2023 di Auditorium Raja Melewar, Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara Negeri Sembilan. Produksi ini didanai oleh Geran Sokongan Sektor Kebudayaan kelolaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Produksi ini menggunakan kostum bernuansa tradisi sebagai pengantar estetika pementasannya. Objektif kertas ini adalah bertujuan untuk mendokumentasi proses eksplorasi pembuatan kostum menggunakan teknik potongan Melayu lama, iaitu potongan yang mengaplikasikan penggunaan pesak dan kekek baik untuk baju mahupun seluar. Penerapan potongan ini dilakukan atas beberapa faktor, antaranya pergerakan pelakon, era dan kesan estetika pakaian Melayu lama. Turut dibincangkan dalam kertas ini ialah modifikasi yang dilakukan terhadap bentuk asal pakaian tradisi untuk membantu memberikan suntikan kesan estetik dan kekinian kepada sinografi pementasan. Kebelakangan ini, jarang dilihat olahan terhadap potongan dan pembuatan kostum bernuansa tradisi dan lebih banyak penggunaan potongan moden sekaligus menghakis penciptaan rupa dan gaya tradisi dalam pementasan teater tempatan. Apresiasi yang kurang terhadap teknik pengkostuman dan pereka yang bergantung kepada pihak lain untuk menyiapkan kostum menyumbang kepada permasalahan ini. Metodologi yang digunakan adalah kajian kes terhadap rekaan dan potongan kostum yang digunakan untuk produksi ini. Kajian ini adalah bersifat kajian pelaporan. Penulisan ini diharapkan akan menjadi rujukan kepada pereka dan penggiat seni persembahan di Malaysia untuk berkarya berlandaskan apresiasi terhadap kearifan dan estetika pengkostuman tempatan.
Kata kunci: Eksplorasi; Pesak; Kekek; Pengkostuman; Teater Awang Sulong Merah Muda 2023.