Speaker
Description
Kajian ini memberi penelitian terhadap kaedah aplikasi teknologi, penerimaan teknologi, dan potensi impaknya terhadap industri kreatif tempatan dan pementasan teater dalam talian (online). Bagi tujuan tersebut, pementasan teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang “Sakti Siti D’Jamilah” dijadikan sebagai kajian kes. Platform media baharu telah lama wujud di dalam dunia pendigitalan, dan teknologi media baharu semakin popular diaplikasikan sewaktu kehadiran wabak Covid-19 yang melanda dunia, di mana kerajaan Malaysia telah mengarahkan Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2023. Semasa perintah berkurung ini, penggunaan media baharu menjadi medium terpenting untuk mendapatkan informasi terkini mengenai berita semasa dari dalam dan luar negara. Berdasarkan teori Model Penerimaan Teknologi (TAM), kajian ini mempraktikkan metodologi kualitatif iaitu temubual tidak berstruktur terhadap lima belas (15) responden yang dipecahkan kepada lima (5) kumpulan berfokus serta kaedah pemerhatian bagi memperoleh dapatan berkualiti dan berimpak tinggi dalam menjawab persoalan kajian di mana data dianalisis secara tematik. Sebagai kajian kes, Revolution Stage telah menerapkan konsep rakaman melalui platform YouTube sebagai saluran siaran kepada penonton. Didapati bahawa kaedah pelaksanaan teater dalam talian merangkumi peruntukan tajaan kewangan dan produk, persamaan dan perbezaan di antara kumpulan produksi teater fizikal dan kumpulan produksi teater dalam talian, kaedah pementasan teater dalam talian, dan pengalaman penonton teater dalam talian. Dari aspek penerimaan pula, hasil kajian ini mendapati bahawa rata-rata responden lebih menggemari teater secara fizikal tetapi tidak menolak teknologi iaitu pementasan teater dalam talian kerana terdapat kebergunaan dan kemudahan kepada penggiat dan penggemar seni. Manakala itu, potensi impak teknologi dalam teater dalam talian tertumpu kepada impak pementasan teater dalam talian terhadap industri kreatif, potensi impak kepada kos perbelanjaan produksi dan penonton, potensi impak kepada hubungan baik antarabangsa, potensi impak kepada ekonomi, potensi impak kepada pendidikan, serta potensi impak sosial. Oleh itu, kajian ini merumuskan bahawa pementasan teater dalam talian mempunyai potensi impak yang tinggi kepada sektor budaya, pendidikan, ekonomi, sosial, dan perbelanjaan.
Kata Kunci: teater dalam talian, teknologi/media baharu, kaedah, penerimaan, impak