Speaker
Description
ABSTRAK
Pesta Babulang Bisaya di Limbang, Sarawak, sememangnya meriah dengan dihiasi objek-objek budaya yang unik dan penuh dengan nilai keindahan. Salah satu objek budayanya ialah kain rentang, yang dikenali sebagai luangan dalam masyarakat Bisaya di Limbang Sarawak. Terdapat beberapa jenis luangan, antaranya ialah disebut sebagai badal-badal, rawai-rawai dan jaujadar. Pemasangan kain rentang luangan adalah semasa upacara perkahwinan, majlis doa selamat, upacara ritual tamarok dan semasa pesta kebudayaan Babulang Bisaya Sarawak. Koleksi kain rentang luangan adalah pelbagai, setiap satu kain rentang luangan mempunyai perbezaan mengikut koleksi pemilik masing-masing. Kajian dan pengumpulan data tentang kain rentang luangan Bisaya dijalankan di kawasan perkampungan Bisaya di Limbang, Sarawak. Identifikasi kain rentang luangan Bisaya di Limbang Sarawak adalah melalui motif dan ragam hias yang merupakan gambaran kepada budayanya. Ikon budaya dan identiti masyarakat Bisaya di Sarawak diperolehi melalui data kajian berkenaan elemen motif dan ragam hias pada kain rentang luangan. Kerja lapangan melibatkan kaedah pemerhatian, temu bual dan rakaman audio visual menjadikan proses penghayatan seni tentang pengertian makna subjek, motif dan ragam hias melalui paparan pada kain rentang luangan. Kain rentang luangan masyarakat Bisaya di Sarawak berunsurkan paparan keindahan dan kemeriahan yang ditonjolkan dalam budaya dan adat istiadat di samping pengaruh persekitaran alam sekeliling. Kain rentang luangan masyarakat Bisaya di Sarawak bukan sahaja berfungsi dalam kehidupan seharian, tetapi juga memainkan peranan penting dalam melestarikan dan memelihara warisan budaya mereka sehingga kini.
Kata kunci: Bisaya Limbang, objek budaya, kain rentang, motif, ragam hias.