Speaker
Description
Sejak pengumuman rasmi perlancaran gagasan Malaysia Madani pada 19 Januari 2023 di Putrajaya oleh Perdana Menteri yang ke-10, YBhg. Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua sektor dari kewangan, ekonomi, pendidikan, perundangan dan perubatan telah berebut mengubah mengikut dasar yang berlandaskan 6 perkara iaitu kesejahteraan (wellbeing), kemampanan (sustainability), daya cipta (creativity), hormat (respect), keyakinan (confidence) dan ihsan (courtesy) atau SCRIPT. Yang terlibat dalam perubahan adalah masyarakat yang terdiri daripada individu-individu terbabit dalam perubahan tanpa mengira pendirian mereka. Maklumbalas masyarakat yang meliputi individu biasa, terpinggir, luar dan dalam bandar serta institusi keluarga, gender dan bangsa berbeza tidak disalurkan dalam perbincangan harian Parlimen kecuali melalui nombor dalam statistik. Namun demikian, seperti kata Carlos P. Romulo bekas Presiden United Nations General Assembly (1949-50) dan pejuang kemerdekaan negara Filipina, “Literature is the voice of the people, reflecting their struggles, dreams, and aspirations” [Sastera mencerminkan pergelutan, impian dan aspirasi satu negara] yang terdiri daripada individu-individu menjadi satu masyarakat. Justeru, tidak dapat dinafikan sastera adalah maklumbalas masyarakat terhadap perubahan di sekeliling dan juga dalam sanubari mereka iaitu penentu kualiti kehidupan seseorang. Cerpen-cerpen Hafizah Isnazid, Lokman Hakim, Nazri Hussein, Ruhaini Matdarin dan Salina Ibrahim dalam antologi Sebuah Rumah dan Naratif Tanah Air (2023) menjadi alat yang menyuarakan pendirian, perasaan, harapan, kesalan serta kesahan individu-individu tersebut yang direka oleh pengarang pelbagai latar seperti penulis professional, guru, jurutera dan penyunting. Kajian ini menggunakan methodologi analisis tekstul atas 9 buah cerpen terpilih dengan berfokus pada analisis kontekstul dan tematik yang terkandung dalam setiap cerpen berlandaskan 6 perkara dalam konsep Madani. Hasil kajian ini diharapkan akan dirakam sebagai satu rujukan atau maklumbalas masyarakat umum kepada pentadbir terhadap konsep Madani dan harapan bangsa kerajaan Madani.
Kata kunci: Maklumbalas Madani, Sastera Melayu, Cerpen Melayu