Speaker
Description
ABSTRAK
Kesejahteraan psikososial pelajar merupakan asas penting dalam memastikan pembangunan holistik dan keseimbangan emosi, sosial serta akademik. Namun, peningkatan isu seperti tekanan akademik, buli, keganasan pelajar, masalah disiplin, gangguan emosi, ketagihan gajet dan masalah keluarga menunjukkan bahawa pelajar sekolah kini berdepan cabaran psikososial yang semakin serius. Situasi ini menimbulkan persoalan utama, sejauh mana sistem pendidikan negara mampu menangani aspek kesejahteraan pelajar secara menyeluruh tanpa sokongan khusus daripada profesional kerja sosial. Dalam konteks ini, penempatan pekerja sosial sekolah dilihat bukan lagi sebagai pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi memperkukuh sistem sokongan pelajar. Pekerja sosial memainkan peranan penting sebagai penghubung antara pelajar, keluarga, guru dan komuniti dalam menangani isu psikososial melalui intervensi krisis, pengurusan kes, advokasi, dan rujukan kepada agensi berkaitan. Kehadiran mereka juga dapat memperkukuh kesejahteraan emosi dan sosial pelajar serta membina persekitaran sekolah yang inklusif dan penyayang. Walau bagaimanapun, pelaksanaan peranan ini masih berdepan cabaran seperti kekangan dasar, kekurangan tenaga kerja profesional, serta tahap kesedaran yang rendah terhadap fungsi kerja sosial sekolah. Sehubungan itu, kertas konsep ini mengemukakan rasional dan strategi utama bagi menyokong pelaksanaan penempatan pekerja sosial sekolah melalui syor strategik kepada kerajaan dan pendekatan dasar yang selaras dengan nilai-nilai Kerajaan Madani, khususnya dalam aspek kesejahteraan, ihsan dan kemampanan sosial. Pelaksanaan strategi ini dijangka dapat meningkatkan kesejahteraan psikososial pelajar, mengurangkan masalah sosial di sekolah dan mewujudkan sistem pendidikan yang lebih seimbang, berperikemanusiaan dan berdaya tahan.
Kata kunci: kesejahteraan psikososial, pekerja sosial sekolah, sistem pendidikan, intervensi sosial, Malaysia Madani