Speaker
Description
Ketagihan: Faktor Risiko dan Punca sebagai Asas Intervensi Kerja Sosial
(Addiction: Risk Factors and Causes as the Core of Social Work Intervention Strategies)
Lydia Anak Naga1, Lhys Kathleens Justinus2, Luciana Markus3,
Unit Taksiran Khas, Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, Malaysia
Email: lydianaga0778@gmail.com
Abstrak
Ketagihan merupakan isu global yang memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan individu, keluarga, dan komuniti, termasuk aspek kesihatan mental, kestabilan ekonomi, dan hubungan sosial. Kajian ini bertujuan membincangkan faktor risiko dan punca ketagihan berasaskan kajian terkini (2020–2025) yang meliputi dimensi individu, persekitaran, dan sosioekonomi. Dapatan literatur menunjukkan bahawa faktor genetik, kesihatan mental, pengaruh rakan sebaya, tekanan ekonomi, serta disfungsi keluarga merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kerentanan terhadap ketagihan. Dari segi punca, gabungan faktor biologi, psikologi, dan sosial mengubah sistem ganjaran otak, sekali gus mencetuskan mekanisme penyesuaian yang tidak sihat terhadap tekanan hidup. Artikel ini mengupas implikasi dapatan kepada amalan intervensi kerja sosial dengan memberi penekanan kepada tiga tahap iaitu pengesanan awal dan intervensi mikro bagi individu dan keluarga melalui penilaian menyeluruh, kaunseling, dan sokongan keluarga. Kedua ialah pencegahan berasaskan komuniti (mezzo) melalui program kesedaran, kumpulan sokongan, dan pendekatan rakan sebaya. Akhir sekali, intervensi makro melibatkan advokasi polisi, pengurangan stigma, dan pembangunan sistem sokongan masyarakat. Pemahaman menyeluruh tentang punca asas ketagihan membolehkan pekerja sosial merangka strategi intervensi yang bersepadu, seterusnya menyokong proses pemulihan, memperkukuh daya tahan, dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Kata kunci: ketagihan, faktor risiko, punca, intervensi kerja sosial, pencegahan, pemulihan
Abstract
Addiction is a global issue that profoundly affects the well-being of individuals, families, and communities, including aspects of mental health, economic stability, and social relationships. This study aims to discuss the risk factors and causes of addiction based on recent research (2020–2025), covering individual, environmental, and socioeconomic dimensions. Findings from the literature indicate that genetic factors, mental health conditions, peer influence, economic stress, and family dysfunction are the main contributors to increased vulnerability to addiction. In terms of causes, the combination of biological, psychological, and social factors alters the brain’s reward system, thereby triggering maladaptive coping mechanisms in response to life stressors. This article explores the implications of these findings for social work interventions with an emphasis on three levels which is early detection and micro-level interventions for individuals and families through comprehensive assessments, counselling, and family support. Secondly, community-based prevention (mezzo-level) through awareness programs, support groups, and peer approaches and lastly, macro-level interventions involving policy advocacy, stigma reduction, and the development of community support systems. A comprehensive understanding of the root causes of addiction enables social workers to design integrated intervention strategies that support recovery, strengthen resilience, and enhance community well-being.
Keywords: addiction, risk factors, causes, social work interventions, prevention, rehabilitation
PENGENALAN
Ketagihan merupakan satu isu sosial dan kesihatan awam yang semakin meningkat di seluruh dunia. Penggunaan bahan psikoaktif termasuk dadah dan produk yang mengandungi alcohol, membawa kesihatan dan sosial yang ketara. Menurut World Health Organization (WHO, 2023), ketagihan ataupun ‘substance use disorder’ dapat didefinisikan sebagai keadaan kronik yang dicirikan oleh penggunaan berulang sesuatu bahan ataupun tingkah laku walaupun ia memberi kesan yang negatif terhadap kehidupan individu. Ketagihan ini juga dilihat sebagai keterlibatan secara terus menerus dengan sesuatu aktiviti yang dapat memberikan impak yang negatif. Hal ini kerana, rasa kepuasan yang dicari dalam diri seseorang tersebut menyebabkan dirinya merasakan tingkah laku tersebut adalah normal.
Pada tahun 2019 sahaja, alkohol telah menyebabkan 2.6 juta kematian di seluruh dunia dan dadah menyumbang hampir 600,000 kematian (WHO, 2023). Fenomena ini bukan sahaja memberikan kesan yang negatif kepada individu yang terlibat malah ia juga memberi impak besar terhadap keluarga, komuniti dan ekonomi sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, isu ketagihan ini bukan sahaja melibatkan kepada dadah dan alkohol, namun ia juga dalam bentuk ketagihan baharu seperti permainan dalam talian, perjudian, merokok serta penggunaan media sosial secara berlebihan
Isu ketagihan ini sering dilihat sebagai hasil daripada gabungan pelbagai faktor yang saling berhubungkait seperti faktor biologi, psikologi, sosial dan persekitaran. Faktor dapat diertikan secara umumnya ialah satu elemen ataupun penyebab yang mempengaruhi prestasi, hasil atau proses sesuai. Secara ringkasnya, faktor risiko merupakan satu keadaan atau peristiwa yang menyebabkan atau mempengaruhi terjadinya sesuatu.
Profesion kerja sosial amat memainkan peranan penting dalam menangani isu ketagihan melalui pelbagai bentuk intervensi yang dijalankan di peringkat individu, keluarga, komuniti. Kerja sosial ialah suatu bidang kerjaya yang profesional kerana ia memenuhi kriteria tertentu seperti teori dan juga berpandukan kepada tunjang ilmu pengetahuan (body of knowledge) yang sistematik, mempunyai sistem pendidikan dan latihan yang standard dan juga mempunyai nilai-nilai, kod etika dan kemahiran tertentu yang menjadi panduan dan rujukan dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosial individu, keluarga dan juga kumpulan serta masyarakat (Abd Manaf, A. R., et al., 2021). Menurut Goldberg, E. M., & R. Warburton, R. W (2021) “social worker are most successful with those clients who apparently need least help” iaitu seorang pekerja sosial yang berjaya dengan klien yang tidak menunjukkan diri dalam kesusahan dan tidak memerlukan bantuan.
Menurut National Association of Social Workers (2021), intervensi kerja sosial ialah merujuk kepada proses tindakan professional yang dijalankan oleh pekerja sosial bagi membantu individu, keluarga dan komuniti bagi menangani masalah sosial dan membantu meningkatkan kesejahteraan dalam kehidupan mereka. Melalui pelbagai bentuk pendekatan intervensi yang dijalankan, kemahiran yang dimiliki oleh pekerja sosial dapat membantu dalam mengembalikan kesejahteraan sosial klien. Dalam konteks di negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, latar belakang sosiobudaya dan ekonomi yang berbeza serta, tugas pekerja sosial adalah lebih mencabar lagi. Oleh itu, memahami faktor risiko dan punca ketagihan amat penting bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan oleh pekerja sosial bersifat secara menyeluruh dan berkesan.
Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan bagi membincangkan faktor risiko dan punca ketagihan berdasarkan sorotan literatur terkini (2020-2025) dan mengaplikasikan pemahaman tentang faktor risiko dan punca ketagihan bagi membentuk asas strategi pencegahan dan intervensi kerja sosial yang berkesan pada tahap mikro, mezzo dan makro. Intervensi kerja sosial yang diutamakan kepada tiga tahap utama intervensi iaitu intervensi pada peringkat mikro (individu dan keluarga), mezzo (komuniti) dan makro (polisi dan struktur sosial). Pemahaman yang menyeluruh bagi punca asas ketagihan dapat membantu pekerja sosial merangka strategi intervensi bersepadu yang bukan tertumpu kepada memulihkan individu namun ia juga dapat memperkukuh daya tahan keluarga dan komuniti secara keseluruhan.
OBJEKTIF KAJIAN
Secara ekstensif, objektif kajian literatur ini ialah:
a) Mengenal pasti faktor risiko utama yang menyumbang kepada peningkatan kerentanan terhadap ketagihan
b) Meneliti punca ketagihan dari perspektif biologi, psikologi dan sosial
c) Mengaplikasikan pemahaman tentang faktor utama dan punca ketagihan bagi membentuk asas strategi pencegahan dan intervensi kerja sosial yang berkesan pada tahap mikro, mezzo dan makro
METODOLOGI KAJIAN
Penulisan literatur ini adalah bersifat naratif. Menurut Onwuegbuzie dan Frels (2016) yang dipetik daripada kajian bin Imam Koning, S., & bin Nasrifan, M. N (2021) menyatakan bahawa kajian literatur naratif merupakan pemahaman, kritis dan objektif yang berkaitan dengan sesuatu topik. Kajian perpustakaan yang dijalankan terhadap buku-buku, jurnal-jurnal kajian bercetak dan atas talian berkaitan dengan tajuk kajian iaitu ketagihan. Penyelidik juga menggunakan platform carian jurnal melalui Google Scholar.
DAPATAN KAJIAN
Faktor risiko utama yang menyumbang kepada peningkatan kerentanan terhadap ketagihan
Ketagihan dipengaruhi oleh beberapa faktor risiko yang dapat dikategorikan dalam beberapa dimensi seperti individu, persekitaran dan sosiekonomi. Faktor ini tidak beroperasi secara terasing yang mana ia membentuk kepada jaringan risiko yang meningkatkan kepada kerentanan individu terhadap tingkah laku ketagihan Dari segi dimensi individu, ia menekankan kepada ciri-ciri peribadi dan biologi seseorang. Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah ketagihan cenderung diwarisi secara genetik. Kecenderungan keturunan menyebabkan anak-anak akan mewarisi gen yang mempengaruhi sistem otak iaitu gen dopamin dan serotonim yang bertindak balas terhadap bahan ketagihan. Dopamin merupakan sejenis bahan kimia yang menyebabkan rasa seronok. Pengambilan bahan secara tidak terkawal akan melepaskan dopamin dalam jumlah yang tinggi akan menyebabkan rasa puas, tenang, dan gembira. Manakala serotonim berkaitan dengan pengawalan emosi dan tekanan. Individu yang mempunyai tahap serotonim yang rendah mudah mengalami keresahan dan kemurungan menggunakan bahan ketagihan sebagai cara bagi menenangkan diri mereka. Oleh itu, individu cenderung mengambil bahan terlarang semasa merasa tertekan kerana kecenderungan mereka yang mudah terpengaruh, kurang disiplin untuk mengawal diri, kesukaran mengawal keinginan (poor impulse control) dan membuat keputusan secara spontan.
Persekitaran (social environment) memainkan peranan besar kerana ia mempengaruhi dan membentuk cara seseorang bergaul, berfikir, dan membuat keputusan. Faktor ini lebih kepada sosial yang mana ia melibatkan keadaan keluarga, komuniti dan pengaruh rakan sebaya. Risiko keterlibatan dalam penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial juga dapat dijelaskan melalui desakan rakan sebaya (Wan Shahrazad Wan Sulaiman, M.T (2021). Individu yang mudah terpengaruh oleh ajakkan rakan sepergaulan cenderung mengambil bahan secara berulang apabila mendapat ganjaran sosial (social reinforcement) seperti perhatian, pujian, atau rasa dihargai selepas melakukan sesuatu. Rasa penerimaan dalam kumpulan menjadi lebih penting berbanding kesan negatif bahan tersebut.
Dari segi dimensi sosioekonomi, individu yang mempunyai latar belakang seperti kemiskinan, pengangguran, dan tekanan ekonomi lebih terdedah kepada tekanan psikologi dan emosi yang kuat. Childhood socioeconomic status and school failure have been found to predic drugd use in youth and young adults (Gilberto Gerra, 2020). Individu yang mengalami keadaan tekanan ekonomi yang tinggi dan tidak mempunyai pendapatan tetap menyebabkan rasa putus asa dan hilang harapan. Pengambilan dadah sebagai pelampiasan emosi dilakukan bagi mengurangkan tekanan dan melupakan masalah mereka. Perkara ini dikenal sebagai coping maladaptif iaitu cara yang tidak sihat dan merugikan diri sendiri dalam mengawal tekanan dengan mengonsumsi bahan terlarang dan terlibat dalam perilaku destruktif (self-destructive behaviour). Pengambilan secara berterusan menunjukan kadar kebergantungan individu tersebut terlalu tinggi berpunca daripada ketagihan dan lemah daya tahan (Amran Idris, 2020). Sistem dan hubungan dalam keluarga yang tidak berfungsi secara sihat ini juga akan menyumbang kepada faktor risiko seperti penceraian, keganasan rumah tangga, dan pengabaian.
Persekitaran keluarga yang tidak sihat secara tidak langsung menjadi model peranan negatif (negative role model) kepada anak-anak kerana mereka belajar perilaku tersebut melalui pemerhatian (observational learning). Anak-anak akan memerhati tingkah laku (ibu bapa yang mengambil bahan terlarang kerana tekanan), mengingati dan meniru perbuatan tersebut apabila berhadapan dalam situasi yang serupa (tekanan). Lama kelamaan, tingkah laku ini menjadi tindak balas automatik terhadap tekanan yang boleh berkembang menjadi ketagihan. Anak- anak tidak dapat mengurus emosi dengan betul kerana tidak mempunyai ruang untuk berkongsi dan meluahkan masalah mereka. Kehilangan bimbingan daripada keluarga kerana tidak adanya penetapan batasan, disiplin, dan panduan menyebabkan mereka terlibat dalam penggunaan bahan terlarang.
Punca ketagihan dari perspektif biologi, psikologi dan sosial
Kajian literatur terkini (2020-2025) menunjukkan bahawa punca ketagihan ketagihan melibatkan kepada interaksi pelbagai dimensi yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Punca ketagihan menjadi mekanisme sebenar yang menyebabkan ketagihan berlaku seperti tingkah laku berulang, gangguan mental, dan perubahan sistem otak. Punca ketagihan dari segi biologi, psikologi dan sosial saling berkaitan.
Kajian mendapati aspek biologi menunjukkan bahawa sistem ganjaran otak terutamanya dopamin bukan sahaja memberi kesan kepada kawalan impuls dan memberikan perubahan kepada individu tersebut. Perubahan ini menyebabkan individu kehilangan kawalan diri dan terus mencari sensai keseronokan walaupun sedar kesan negatifnya. Dalam kajian Suwito, T. P., Nidin, S. B., & Ginting, J (2025) ketidakseimbangan jumlah kimia di otak merupakan faktor-faktor penyebab dan pemicu seperti dopamin dan glutamate biasanya akan melibatkan neurotransmitter bereaksi dan juga menimbulkan perubahan perilaku. Dari segi kecenderungan genetik pula berperanan penting dalam menentukan kepekaan otak terhadap bahan adiktif.
Punca ketagihan dari persepktif psikologi pula menumpukan kepada tekanan sosial seperti konflik keluarga, pengabaian emosi dan pengaruh rakan sebaya secara signifikan meningkatkan kecenderungan individu mengalami tekanan psikologi yang membawa kepada penggunaan bahan dan juga tingkah laku ketagihan digital. Dalam erti kata lain, faktor psikologi seperti tekanan, kemurungan, kesunyian bertindak sebagai pengantara antara faktor sosial dan tingkah laku ketagihan. Individu dengan gangguan seperti kemurungan, kebimbangan dan trauma lebih cenderung menggunakan bahan adiktif sebagai mekanisme pelarian. Menurut Salleh, S., et al., (2022) yang dipetik daripada Abd Malek, et al. (2020) menyatakan bahawa apabila bahaya dan risiko kesihatan mental kurang diberikan pendedahan ia akan memberikan kesan yang lebih kronik dalam masyarakat.
Bagi perspektif sosial pula merangkumi persekitaran, norma budaya dan status sosioekonomi. Individu yang hidup dalam persekitaran yang normalisasi terhadap penggunaan bahan terlarang misalnya komuniti yang mempunyai kadar penyalahgunaan dadah tinggi akan lebih terdedah kepada ketagihan seperti rakan sebaya yang menggunakan bahan terlarang atau tekanan ekonomi keluarga. Kajian Sing, A. P., & Amran, M. S. (2025) menyatakan pengaruh sosial melalui interaksi dengan rakan sebaya juga boleh mempengaruhi keupayaan seseorang dalam pelbagai konteks. Zaman remaja adalah tempoh yang sangat kritikal dalam pembangunan identiti dan penerokaan diri yang mana dalam tempoh itu, pengaruh rakan sebaya banyak mempengaruhi tingkah laku, sikap dan juga pilihan hidup seseorang remaja (Abdul Rahim, N., 2023).
Strategi pencegahan dan intervensi kerja sosial yang berkesan pada tahap Mikro, Mezzo dan Makro
a) Tahap Mikro (Individu dan Keluarga)
Intervensi pada tahap mikro ini memfokuskan kepada individu yang mengalami ketagihan dan keluarga terdekat. Hasil kajian menunjukkan bahawa faktor biologi dan psikologi merupakan punca langsung kepada tingkah laku ketagihan. Oleh itu, strategi pekerja sosial pada peringkat ini perlu menumpukan kepada pemulihan individu secara klinikan dan psikososial dan juga penglibatan keluarga dalam suatu proses sokongan. Implikasi terhadap amalan kerja sosial yang mana secara penilaian menyeluruh (comprehensive assessment). Pekerja sosial perlu menjalankan penilaian biopsikososial terhadap klien untuk mengenal pasti punca utama ketagihan dari aspek biologi, psikologi dan sosial. Contohnya, menggunakan instrumen penilaian ketagihan, memahami latar belakang perubatan, sejarah trauma dan faktor sokongan sosial klien sebelum merancang intervensi. Pada peringkat ini, pekerja sosial berperanan sebagai kaunselor ataupun menjalankan sesi bersama klien dan keluarga klien tetapi berlandaskan kepada konsep menjalankan sesi sebagai seorang pekerja sosial. Hal ini kerana sesi yang dijalankan oleh pekerja sosial dengan kaunseling adalah berbeza. Disini pekerja sosial berperanan dengan memberikan sokongan sosial kepada klien yang mana akan mendengarkan klien dengan empati dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap keperluan, perasaan dan pengalaman klien.
Pelaksanaan Kaunseling Berfokus Pemulihan (Motivational Interviewing (MI) dan Terapi Kognitif-Tingkah Laku (Cognitive Behavioral Therapy, CBT) juga antara strategi yang dijalankan oleh pekerja sosial. Kedua-dua kaedah ini terbukti berkesan dalam membantu individu mengenal pasti pemikiran tidak rasional serta meningkatkan motivasi dalaman untuk berubah. Motivational Interviewing (MI) ialah pendekatan kaunseling yang berasaskan empati dan kolabirasi antara pekerja sosial dan klien. MI bukanlah pendekatan berpandukan teori, namun ia menggabungkan pelbagai pendekatan berasaskan bukti daripada psikologi kognitif dan psikologi sosial (Bischof, G., Bischof, A., & Rumpf, H. J., 2021). Terapi Kognitif-Tingkah Laku ataupun Cognitive Behavioral Therapy (CBT) pula membantu klien mengenal pasti pencetus ketagihan dan menggantikan pemikiran negatif dengan yang lebih rasional. CBT juga melatih kemahiran mengurus tekanan dan situasi berisiko agar klien dapat mengekalkan pemulihan. Pekerja sosial menggunakan teknik CBT untuk berinteraksi dengan klien secara berstruktur dan interaktif mengutamakan pengenalpastian dan penstrukturan semula corak pemikiran negatif (Fatoye, H.A., 2025). Peranan pekerja sosial bekerjasama dengan klien untuk memahami kesan situasi terhadap emosi dan tingkah laku dan membantu klien ke arah mental yang lebih baik.
Disamping itu, penglibatan keluarga perlu dilaksanakan bagi memupuk kefahaman dan empati dalam kalangan ahli keluarga terhadap individu yang mengalami ketagihan. Keluarga berfungsi sebagai sokongan utama yang dapat mengurangkan risiko relaps serta menstabilkan emosi klien. Kesannya, penglibatan keluarga membantu mengurangkan stigma dan meningkatkan sokongan sosial klien.
b) Tahap Mezzo (Kumpulan Sasaran dan Komuniti Setempat)
Tahap mezzo iaitu komuniti dan kumpulan sokongan yang mana dapatan daripada faktor persekitaran sosial dan rakan sebaya dikenal pasti sebagai pemangkin utama ketagihan. Tahap mezzo menumpukan kepada pengukuhan jaringan sosial dalam komuniti sebagai mekanisme penting dalam proses pencegahan dan pemulihan. Menurut Boeri, M., Gardner, M., & Gerken, E. (2020) penglibatan komuniti dalam proses pemulihan dapat meningkatkan rasa kebersamaan, tanggungjawab sosial serta menyumbang kepada pengurangan risiko relaps. Implikasi terhadap amalan kerja sosial iaitu perlaksanaan program pencegahan berasaskan komuniti. Melalui ini, pekerja sosial boleh bekerjasama dengan sekolah, Non-Government Organization (NGO) dan institusi agama bagi melaksanakan program kesedaran risiko ketagihan melalui bengkel, ceramah dan aktiviti komuniti. Tujuannya ialah meningkatkan literasi kesihatan mental dan bahaya ketagihan disamping mengubah norma sosial terhadap penggunaan bahan.
Pendekatan rakan sebaya (peer support intervention) juga strategi yang boleh dijalankan oleh pekerja sosial yang mana pendekatan rakan sebaya berkesan mengurangkan kadar penggunaan bahan dalam komuniti berisiko. Pendekatan rakan sebaya menekankan peranan individu yang pernah mengamlami ketagihan sebagai fasilitator atau mentor kepada mereka yang sedang berjuang untuk pulih.
c) Tahap Makro (Polisi, Struktur Sosial dan Advokasi Hak)
Tahap makro menumpukan kepada pembentukan dasar, struktur sosial dan sistem sokongan yang menyokong pencegahan serta pemulihan ketagihan. Intervensi pada peringkat makro diperlukan bagi menangani struktur sosial yang menyumbang kepada ketagihan dan kepada gejala individu. Pekerja sosial perlu terlibat dalam advokasi bagi memperkukuh polisi pemulihan berasaskan komuniti, memperluas akses kepada rawatan dan mengurangkan hukuman berbentuk punitif terhadap penagih. Dalam erti kata lain polisi berasaskan pemulihan menekankan pendekatan bukan menghukum dengan memberi keutamaan kepada rawatan dan reintegrasi sosial. Contohnya, advokasi dasar sosial dan kesihatan mental bagi memastikan individu yang terlibat dalam ketagihan mendapat peluang rawatan tanpa diskriminasi.
Pembangunan sistem sokongan sosial yang mana melibatkan pembuat dasar, agensi kerajaan dan juga sektor swasta bagi menyediakan peluang pekerjaan dan program pemulihan ekonomi bagi bekas penagih. Kesannya, dapat mengekalkan kesejahteraan klien selepas pemulihan. Sokongan ini membantu klien menyesuaikan diri kembali ke masyarakat selepas rawatan formal, mengurangkan risiko kambuh dan membina semula kestabilan serta ekonomi mereka.
Kolaborasi antara agensi Kerajaan dan Non-Government Organization (NGO) juga amat penting bagi memastikan intervensi lebih bersepadu. Hal ini kerana masalah ketagihan bersifat kompleks dan memerlukan pendekatan pelbagai sektor (multisectoral approach). Oleh itu, kerjasama antara kementerian kesihatan, kebajikan, pendidikan, keselamatan, dan NGO ini membolehkan perkongsian sumber data, dan kepakaran bagi memperkukuh sistem sokongan sosial di peringkat nasional dan komuniti.
PERBINCANGAN
Ketagihan merupakan isu yang kompleks kerana ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor biologi, psikologi dan sosial. Dapatan menunjukkan bahawa tekanan hidup, pengaruh rakan sebaya, masalah Kesihatan mental serta latar belakang keluarga memberi impak yang besar terhadap risiko seseorang terlibat dalam ketagihan. Oleh itu pendekatan kerja sosial perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui tiga tahap intervensi iaitu Mikro, Mezzo dan Makro. ‘
Pada tahap Mikro, intervensi seperti Motivational Interviewing (MI) dan Cognitive Behabioural Therapy (CBT) membantu individu meningkatkan kesedaran diri, mengubah corak pemikiran negative serta membina motivasi untuk pulih. Tahap mezzo pula memberi tumpuan kepada komuniti melalui program kesedaran, kumpulan sokongan dan juga pendekatan rakan sebaya bagi memperkukuh jaringan sosial serta mengurangkan stigma terhadap individu yang pernah terlibat dalam ketagihan. Seterusnya ialah pada tahap Makro yang mana ia menekankan advokasi dasar, Pembangunan pusat komuniti pemulihan dan kerjasama antara kerajaan serta Non-Government (NGO) bagi mewujudkan sistem sokongan yang lebih inklusif. Secara keseluruhannya, pendekatan intervensi yang bersepadu dan berterusan di semua peringkat dapat membantu individu pulih sepenuhnya serta menggalakkan kesejahteraan sosial dalam komuniti.
KESIMPULAN
Kajian literatur menunjukkan kesepakatan bahawa ketagihan ialah gangguan kompleks namun ia terdapat juga jurang dalam intergasi antara tiga faktor utama. Sebahagian besar kajian iaitu masih menumpukan kepada aspek biologi dan juga neurokimia dan bagi kajian yang menilai kepada dimensi sosial seperti stigma, pengangguran dan marginalisasi masih terhad terutamanya dalam konteks Asia Tenggara. Tambahan pula, banyak kajian terdahulu yang lebih berfokus kepada ketagihan bahan seperti dadah dan alkohol sedangkan bentuk ketagihan baharu seperti ketagihan media sosial, permainan dalam talian dan perjudian digital semakin meningkat tetapi belum dikaji secara menyeluruh dari perspektif kerja sosial. Ini menunjukkan keperluan kepada pendekatan penyelidikan yang lebih holistik dan kontekstual termasuk faktor budaya dan sosioekonomi tempatan.
Secara kesimpulannya, isu ketagihan perlu dilihat sebagai satu masalah sosial dan kesihatan yang memerlukan pendekatan holistik bukannya sekadar hukuman atau stigma. Pemahaman terhadap faktor risiko dan punca ketagihan dapat membantu pekerja sosial merancang intervensi yang lebih berkesan dan berasaskan bukti. Pendekatan pada tahap Mikro, Mezzo dan Makro juga perlu digabungkan bagi memastikan proses pemulihan individu berlaku secara menyeluruh dan ia bukan sahaja dari aspek tingkah laku tetapi juga sokongan sosial, emosi dan sistematik.
Pernyataan Persetujuan Termaklum
Semua peserta telah memberikan persetujuan termaklum sebelum mengambil bahagian dalam kajian ini. Mereka telah dimaklumkan mengenai objektif kajian, prosedur pelaksanaan, potensi risiko, serta hak mereka untuk menarik diri pada bila-bila masa tanpa sebarang kesan negatif.
Pernyataan Konflik Kepentingan
Para penyelidik mengisytiharkan bahawa tiada sebarang konflik kepentingan yang wujud dalam pelaksanaan, analisis, atau penerbitan kajian ini.
Pernyataan Etika
Kajian ini telah dijalankan selaras dengan garis panduan etika penyelidikan yang ditetapkan oleh institusi berkaitan. Semua prosedur kajian mematuhi prinsip kerahsiaan, keizinan peserta, serta piawaian etika yang ditetapkan.
Sumbangan Penulis
Setiap penulis telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam reka bentuk kajian, pengumpulan data, analisis, serta penyediaan laporan akhir. Semua penulis telah membaca, menyemak, dan meluluskan manuskrip akhir untuk diterbitkan.
Pembiayaan
Kajian ini tidak menerima sebarang bentuk pembiayaan daripada mana-mana agensi kerajaan, swasta, atau organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Penghargaan
Penyelidik ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta kajian, pihak institusi pendidikan, serta penyelia akademik yang telah memberikan bimbingan, sokongan dan dorongan sepanjang proses kajian ini dijalankan.
Pernyataan Ketersediaan Data
Data yang digunakan dalam kajian ini boleh diperoleh daripada penyelidik utama atas permintaan yang munasabah bagi tujuan penyelidikan dan rujukan akademik.
RUJUKAN
Abdul Rahim, N. (2023). Pandu Golongan Remaja Hadapi Cabaran Pengaruh Rakan Sebaya. Https://Article.Library.Uitm.Edu.My/12302/
Abd Manaf, A. R., Hamid, A. S. A., Hillaluddin, A. H., Ramli, F. Z. A., Shaffie, F., Bakar, M. Z. A., ... & Saad, Z. M. (2021). Pengantar Kerja Sosial (UUM Press). UUM Press.
Amran Idris, F. S. (2020). Faktor-Faktor Pencegahan Fenomena Relapse Dalam Kalangan Pengguna Dadah. Asian People Journal, 163. Https://Journal.Unisza.Edu.My/Apj/Index.Php/Apj/Article/View/185
Boeri, M., Gardner, M., & Gerken, E. (2020). Community-Based Recovery Support Programs For Substance Use: An Ethnographic Study Of Peer Networks. Journal Of Drug Issues, 50(3), 278–293. Https://Doi.Org/10.1177/0022042620909763
Bischof, G., Bischof, A., & Rumpf, H. J. (2021). Motivational Interviewing: An Evidence-Based Approach For Use In Medical Practice. Deutsches Ärzteblatt International, 118(7),109 Https://Pmc.Ncbi.Nlm.Nih.Gov/Articles/PMC8200683/
Bin Imam Koning, S., & Bin Nasrifan, M. N. (2021). Integrasi Aktiviti Muzikal Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik: Satu Kajian Literatur. Jurnal Pendidikan Bitara UPSI, 14, 92-102. Https://Doi.Org/10.37134/Bitara.Vol14.Sp.10.2021
FATOYE, H. A. (2025). SOCIAL WORK INTERVENTIONS IN THE REDUCTION OF SUBSTANCE ABUSE AMONG YOUTHS IN IBADAN METROPOLIS. AFRICAN JOURNAL FOR THE PSYCHOLOGICAL STUDIES OF SOCIAL ISSUES, 28(2). Https://Www.Ajpssi.Org/Index.Php/Ajpssi/Article/View/745/884
Gilberto Gerra, E. B. (18 February, 2020). Socioeconomic Status, Parental Education, School Connectedness And Individual Socio-Cultural Resources In Vulnerability For Drug Use Among Students. International Journal Of Environmental Research And Public Health, 1. Retrieved From Https://Www.Sciencedirect.Com/Science/Article/Pii/S0166432820306537
Goldberg, E. M., & Warburton, R. W. (2021). Ends And Means In Social Work: The Development And Outcome Of A Case Review System For Social Workers. Taylor & Francis. Https://Books.Google.Com.My/Books?Hl=En&Lr=&Id=Hmsieqaaqbaj&Oi=Fnd&Pg=PP1&Dq=Social+Worker+Mean&Ots=W4bug-K0fr&Sig=Cett3-0dzxo31v_9yeyuw5uw8ls&Redir_Esc=Y#V=Onepage&Q=Social%20worker%20mean&F=False
National Association Of Social Workers. (2021). NASW Code Of Ethics. NASW Press.Retrieved From Https://Www.Socialworkers.Org/About/Ethics/Code-Of-Ethics/Code-Of-Ethics-English
Suwito, T. P., Nidin, S. B., & Ginting, J. (2025). Pastoral Counseling For Schizophrenia Patients: Pastoral Konseling Pasien Skizofrenia. INTERNATIONAL JOURNAL OF SOCIAL, POLICY AND LAW, 6(2), 73-92. Https://Ijospl.Org/Index.Php/Ijospl/Article/View/204/156
Salleh, S., Wazir, R., Abd Rahman, K. A., Sudi, S., Awang, A. H., & Kamarulzaman, A. I. (2022). Mengatasi Masalah Kesihatan Mental Melalui Pendekatan Psiko Spiritual. International Journal Of Education, Psychology And Counseling, 7(47), 601-615. Https://L1nq.Com/7Ym8h
Sing, A. P., & Amran, M. S. (2025). Kepuasan Tertunda Dan Pengaruh Rakan Sebaya Dalam Konteks Sosial Murid-Murid Tahap 1 Dan Tahap 2 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Delayed Gratification And Peer Influence In The Social Context Of Level 1 And Level 2 Chinese National Type School Students). Malaysia Journal Of Invention And Innovation, 4(5), 1-18. Https://Journal.Academicapress.Org/Aps/Index.Php/Mjii/Article/View/126/128
Wan Shahrazad Wan Sulaiman, M.T (2021). Sokongan Sosial Dan Kesihatan Mental Dan Pengaruhnya Terhadap Kerentanan Pengilibatan Penagih Dadah Serta Pelencongan Sosial Dalam Kalangan Remaja. Journal Of Social Sciences And Humanities, 247. Https://Www.Academia.Edu/Download/97976579/489539974.Pdf
World Health Organization. (2023). Global Report On Health And Substance Use: Integrating Harm Reduction And Recovery Systems. WHO Publications. Https://Www.Emro.Who.Int/Mnh/Publications/Substance-Use.Html