Speaker
Description
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji hubungan ketagihan berulang (relaps) dengan kemurungan, kebimbangan, tekanan dan ketahanan diri dalam kalangan banduan penagih dadah di Penjara Lahad Datu, Sabah. Ketagihan berulang merupakan cabaran utama dalam proses pemulihan penagih dadah, khususnya dalam konteks institusi tertutup. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk kajian tinjauan berbentuk korelasi. Seramai 150 orang banduan lelaki yang mempunyai sejarah relaps telah dipilih secara bertujuan. Instrumen kajian terdiri daripada DASS-21, CD-RISC-10 dan skala kekerapan relaps. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferensi, termasuk ujian Korelasi Spearman. Hasil kajian menunjukkan bahawa kemurungan, kebimbangan dan tekanan mempunyai hubungan positif yang signifikan dengan relaps. Ketahanan diri pula didapati mempunyai hubungan negatif yang signifikan dengan relaps, menandakan ia sebagai faktor pelindung. Kajian ini menyarankan agar elemen psikologi seperti kesihatan mental dan daya tindak dimasukkan secara menyeluruh dalam program pemulihan dadah.
Kata kunci: Ketagihan berulang, kemurungan, kebimbangan, tekanan, ketahanan diri, pemulihan banduan.